Pada hari yang cerah dan nyaman, anda terasa ingin berkebun. Sebelum anda pergi mencangkul dan membuka paket biji benih, apa kata lihat tip-tip ini untuk anda berjaya berkebun. Kami mempunyai 10 tips untuk anda mencubaai, tetapi hari ini kami akan memulakan dengan hanya 3 tips. 

1. Pengubahan anak benih (transplanting seedlings)

Sesetengah biji benih perlu disemai dahulu pada talam semaian sebelum boleh pindah tanam di kebun. Apabila anak benih sudah mengeluarkan 3-5 helai daun sebenar, sudah tiba masanya aktiviti pengubahan berlangsung.

Ketika pengubahan, “Jangan pegang batang anak benih kerana batang itu adalah nyawanya,”  jelas Puan Zaleha Ujang, pegawai pengurus ladang sayur Taman Pertanian Universiti, UPM. Kita perlulah pegang daun anak benih dengan perlahan-lahan tarik, “Kerana daun boleh tumbuh semula,” tambah beliau lagi.

2. Pengerasan (hardening)

Pengerasan ialah satu proses penyesuaian anak benih sebelum ia dipindahkan sepenuhnya ke atas batas atau ke dalam pasu lebih sesuai. Pastikan anak benih selesa dengan persekitaran kebun sebelum pindah sepenuhnya. Sekurang-kurangnya seminggu sebelum pindah ke atas batas letakkan anak benih di kebun dengan jagaan betul. Teduhkan ia dahulu dan kemudian setelah cukup, barulah pindahkan ia sepenuhnya di atas batas.

3. Masa penanaman

Suasana yang redup dan nyaman adalah waktu yang sesuai untuk pengubahan anak benih dilakukan. Bilakah waktu itu? Paling sesuai di awal pagi ataupun lewat petang. Ini bagi memastikan anak benih tidak kepanasan dan layu dek pancaran cahaya matahari.

Siram talam benih atau bekas sehari dan sejam sebelum pindah anak benih ke atas batas.